24 Ogos 2017 - 07:01
Qatar Hantar Kembali Duta Ke Tehran

Qatar mengumumkan bahawa dutanya ke Tehran akan dihantar semula ke Iran selepas 20 bulan meninggalkan negara itu berikutan bantahan Doha ke atas tunjuk perasaan di hadapan kedutaan Arab Saudi yang terletak di Tehran.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Qatar mengumumkan bahawa dutanya ke Tehran akan dihantar semula ke Iran selepas 20 bulan meninggalkan negara itu berikutan bantahan Doha ke atas tunjuk perasaan di hadapan kedutaan Arab Saudi yang terletak di Tehran.

"Qatar mengumumkan bahawa dutanya ke Tehran akan kembali ke ibu kota Iran untuk meneruskan misi diplomatiknya," kata pejabat Kementerian Luar Qatar di dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawang kementerian itu pada hari Rabu.

Qatar sebelum ini memanggil pulan dutanya ke Iran selepas tunjuk perasaan dianjurkan di hadapan kedutaan Arab Saudi yang terletak di Tehran dan bangunan konsulat Riyadh di Mashhad. Para penunjuk perasaan pada ketika itu berang dengan tindakan rejim keluarga Saud yang melaksanakan hukuman mati ke atas ulama terkemuka Syiah bernama Syeikh Nimr al-Nimr. Pembunuhan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Riyadh untuk mengetatkan kawalan ke atas Wilayah Timur negara itu yang majoriti penduduknya terdiri daripada penganut mazhab Islam Syiah.

Pengumuman berhubung kepulangan duta itu ke Tehran dibuat di sebalik krisis diplomatik di antara Qatar dan pakatan pimpinan Arab Saudi yang melanda rantau itu. Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu sebelum ini memutuskan hubungan diplomatik mereka dengan Qatar dan mengenakan sekatan pengangkutan ke atas negara Arab kecil itu.

Pakatan itu menuduh Qatar menyokong keganasan dan berusaha untuk menyahstabilkan rantau Timur Tengah. Doha menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menuduh pakatan tersebut cuba untuk menggugat kedaulatannya.

Kenyataan terbaharu kementerian itu turut menyatakan bahawa Doha berhasrat untuk memperkukuhkan hubungan mereka dengan Tehran di pelbagai bidang. Menurut kenyataan itu juga, Menteri Luar Qatar, Syeikh Mohammad Bin Abdulrahman Al-Thani telah berbincang dengan rakan sejawatnya dari Iran, Mohammad Javad Zarif berhubung "hubungan dua hala" kedua-dua negara dan "cara untuk mempertingkatkannya." -ABNA24

/315